Pages

18 April 2015

Ini Mungkin Penerbangan Terakhir Saya

By Vitdaily · On 17th April 2015
Nota: Kami mengucapkan takziah kepada mangsa MH370 dan MH17 di atas pemergian anggota keluarga yang tersayang. Semoga mereka aman di sana dengan doa kita yang tidak henti-henti di sini. Artikel ini merupakan pandangan penulis setiap kali menaiki kapal terbang dan tidak berniat mahu mengguris perasaan mana-mana pihak

Setiap kali kami akan menaiki kapal terbang, tidak kisahlah ke mana, mahu tidak mahu, pasti ada perkara yang melintas di kepala. Jika yang sudah biasa makan disuap oleh ibu, pasti terasa sedih dan hiba ketika sedang menunggu untuk berlepas.

Ibu bapa mana tidak risau jika anak mahu berkelana jauh dan lama. Tapi kami selalu jelaskan kepada ibu bapa dengan sopan, mati itu tidak mengira tempat.

Jujurnya, kadang-kala kami sudah berada di dalam kapal terbang, sebelum berlepas, pasti akan ada perasaan – adakah aku akan kembali semula ke tanah ini dengan selamat? Ini resam orang merantau. Jauh atau dekat, lama atau sekejap perjalanan di dalam kapal terbang, perkara ini seringkali singgah di kepala.

Saat memikirkan – mungkingkah ini penerbangan terakhir aku – seringkali membuatkan kami lembut hati memaafkan kesalahan siapa pun. Penerbangan kami baru-baru ini sangat menyentuh hati apabila seorang lelaki berusia 60-an membaca surah Yassin, mungkin.

Setelah lampu di dalam kapal terbang semakin suram, jari lelaki ini perlahan-lahan menekan suis lampu di atas kepala, memberikan cahaya untuk dia meneruskan bacaan.

Ketika berada di 7,000 kaki di atas langit, maafkan kami jika kami luahkan – jika terjadi apa-apa kepada kita di saat itu, the only thing yang kita boleh bayangkan adalah untuk merasa bersyukur. Bersyukur kerana diberi peluang untuk hidup hingga ke saat itu.

Bersyukur kerana berpeluang untuk belajar dan merasai tentang kehidupan orang lain. Sebelum anda capai saat-saat terakhir itu, hidupmu sudah penuh dengan nikmat.

Malah kami rasa, ramai di antara kita pasti akan menghubungi insan tersayang sebelum berlepas. Tidak kisahlah jika naik kenderaan darat atau pun udara. Kita lakukan ini untuk mendengar suara mereka, andai kata itulah untuk kali terakhir.


Salahkah jika kami katakan, ketika anda sedang membaca menu makanan yang ada, kadangkala teringat masakan si ibu di kampung. Menu yang anda belek entah kali ke berapa sekadar menghilang bosan perjalanan yang jauh.

Anda tahu bukan, tingkap kecil yang disediakan di dalam kapal terbang atau pun bas itu merupakan mesin merentas masa. Tingkap kecil ini juga merupakan tingkap memori. Semakin lama direnung, semakin jauh anda akan dibawa mengenang kehidupan sendiri, jatuh bangun hidup sehinggalah anda dibawa semula kepada realiti.

Bagi kami, merantau itu sendiri adalah cara untuk muhasabah diri, bukan? Dari tingkap kecil di atas awan, apa yang anda lihat ketika itu? Anda hanyalah sekecil-kecil zarah di atas muka bumi namun kehadiran anda tetap ada fungsinya tersendiri kepada alam semesta.

Pemandu bas mahu pun pilot merupakan insan yang tidak pernah anda kenali langsung, namun insan itulah yang anda sangat percayai tanpa sedar
Tapi, percayakah anda bahawa perkara yang difikirkan ini akan hilang sekelip mata sebaik saja selesai mendarat?

Malah senyuman pramugari di pintu pesawat membuatkan anda kembali berasa tenang sambil berjalan menghala ke pintu keluar. Perasaan berbaur takut mati tadi hilang terus sebaik anda berebut mahu ambil bag untuk turun. Ini bukan perkara pelik, kerana ini adalah sifat semulajadi manusia.

Lucu difikirkan kembali, kita cuma memberi perhatian sepenuhnya kepada pramugari atau pramugara mengenai keselamatan cuma pada kali pertama atau kedua penerbangan atau mungkin jika pramugari itu manis senyumannya.

Ini cuma apa yang bermain di dalam kepala kami. Manisnya setiap pengalaman itu dengan corak yang menghias perjalanan. Kami tahu, minda sang pengembara ini liar, malah sangat luas untuk diterokai. Sebab itu, mereka punya pandangan berbeza mengenai kehidupan.

Mari kongsikan pengalaman anda ketika merantau kerana mungkin perkongsian anda mampu memberi pengetahuan yang lebih meluas untuk kebaikan semua.


6 comments:

  1. CT ada tengok link di facebook tadi tapi tak baca pun.. ni baru baca..
    moga dijauhkan segala musibah tapi apa-apa jua.. rencana Allah jua yang terbaik..
    semoga kita semua dilindungi =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. sebab saya minat dengan benda berkaitan "travel" itu yang saya copy..tertarik dgn penulisan Vitdaily ni..untuk tatapan kita semua. ya..moga dijauhkan & dilindungi oleh Allah SWT :)

      Delete
  2. This comment has been removed by the author.

    ReplyDelete
  3. ya kita sentiasa merantau...dalam hidup ini..

    oh.. terima kasih saya ucapkan kerana meletakkan blog saya dalam blog list CH ... oleh kerana itu juga saya pun masukan blog CH dalam blog list SaveTheWorld.Com

    ReplyDelete