HIDUP erti KEHIDUPAN - .

14 June 2014

HIDUP erti KEHIDUPAN



Lihat dan renungkan apakah persamaan permulaan dan pengakhiran kehidupan kita ?  (dakwah.info)


Bicara tentang hidup juga tidak akan terlepas dari berbicara tentang maksud dan tujuan sebenar Allah hantar kita kedunia ini.

Maksud dan tujuan Allah swt menciptakan manusia adalah untuk beribadah sebagaimana firmanNya yang bermaksud “Dan Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku.” (QS adz- dzariyat: 56)

Bukan hanya manusia tetapi seluruh makhluk di muka bumi ini beribadah menurut caranya masing-masing seperti yang disunnahkan oleh Allah swt sebagaimana firmanNya yang bermaksud, “Apakah kamu tidak mengetahui bahawasanya bertasbih kepada Allah apa yang ada di langit dan di bumi?

Begitu juga bertasbih burung-burung yang terbang di udara. Masing-masing mengetahui cara ia solat dan bertasbih. Dan Allah Maha Mengetahui apa yang mereka lakukan (QS an Nur: 41)


Mencari identiti  kehidupan


Kehidupan adalah satu alam atau satu perjalanan yang sangat luas, sangat panjang dan tiada penghujungnya. Apa yang pasti, nasib keadaan kehidupan kita yang panjang ini hanya ditentukan oleh masa hidup kita di dunia yang sangat singkat ini.

Maka saat kehidupan kita didunia adalah satu persinggahan sementara untuk kita mencari identiti sebenar dalam membawa satu kehidupan yang abadi di akhirat kelak.

Jika baik didunia tidak semestinya baik diakhirat dan jika buruk didunia tidak semestinya buruk diakhirat. Semuanya dalam percaturan Allah. Kita sebagai manusia hanyalah mampu berdoa agar kita dimasukkan dalam syurganya yang kekal abadi.

Apalah nilainya kalaupun kita dipanjangkan umur sehingga seratus tahun di dunia, sedangkan hanya satu hari di akhirat sudah menyamai 1000 tahun masa di dunia.

Jika kita mensia-siakan kehidupan yang singkat ini. Semua tiada guna!


Hidup ERTI keHidupan


Kehidupan ini adalah suatu liku-liku. Dalam liku-liku inilah kita mengutip pengalaman. Pengalaman itu jika dikongsi bersama akan menjadi panduan hidup yang sangat berguna.

Bila seluruh kehidupan kita dari celik mata hingga kita tidur kembali, seluruh kehidupan kita mengikut Al-Quran dan Sunnah, maka seluruh kehidupan kita akan dikira ibadah maka berbahagialah dan berjayalah orang itu di dunia dan di akhirat.

Hidup yang tidak mempunyai matlamat dan pegangan ibarat satu perjalanan manusia yang setakat kita faham dan tahu tetapi tidak pernah melaluinya. Kita tidak merasai susah dan senang dalam kehidupan, ibaratnya tiada nikmat kemanisan diperolehi.

Jika matlamat dan pegangan jika itu dapat dikecapi apa yang kita mahukan dalam kehidupan maka hadirnya kita didunia ini mempunyai maksud dan tujuan uttuk membuat sesuatu dan menginginkan manfaat dari apa yang kita buat iaitu syurga yang kekal abadi

Mudah-mudahan Allah menerima segala apa yang kita lakukan sebagai satu amal ibadat dalam menjalani hidup sebagai seorang muslim dulu kini dan selamanya.

Amin Ya Rabbal Alamin. Kita amalkan dan sebarkan kepada orang lain supaya kita semua mendapat manfaatnya, insyaallah.

Moga yang dicari yang sebenar adalah hidup erti kehidupan!

shakshaf : Ambillah peluang dari kesihatanmu untuk masa sakitmu dan masa hidupmu untuk matimu.


No comments:

Post a Comment